Ahad, 22 Julai 2012

KEKELIRUAN FIQH DAKWAH DIKALANGAN ULAMAK MUDA UMNO(ILMU)


Kekorupan dan kezaliman UMNO bukan satu persepsi yang salah tetapi ia adalah realiti yang nyata dan benar.  Fakta-fakta menunjukkan perkara tersebut banyak dimedia-media sosial bukan sahaja diakui oleh pihak pembangkang bahkan pihak UMNO sendiri.   Dalam kemelut ini, lahir barisan ustaz-ustaz yang mengaku mereka sebagai ulamak iaitu Ulama Muda UMNO (ILMU).  Mereka menyertai UMNO kerana mahu berdakwah dari dalam.  Mereka juga mendakwa pihak lain tidak betul dan tidak ikut Islam dalam berdakwah.   Tulisan ini akan menilai kekeliruan dan kesilapan mereka dalam berdakwah dan menasihati UMNO berlandaskan konsep fiqh dakwah berikut:-

1)Konsep المخالطة : Bergaul dan mendekati mad’u dan sasaran dakwah. 

Apabila mendapati individu, kumpulan, parti dan seumpamanya yang zalim, berdosa, dan tidak menjadikan Quran & Sunnah sebagai dasar, seorang da’ei, pendakwah, kumpulan, parti Islam atau badan-badan dakwah lain hendaklah bergaul dan mendekati mereka atas dasar dakwah, mengajak mereka kepada kebenaran dan cinta kerana Allah ta’ala.  

Konsep dakwah ini sebenarnya bukan menjadi isu kerana amat ramai yang bergaul dan mendekati UMNO untuk menasihati dan mengajak kepada kebenaran semenjak dari dulu sampai sekarang.  Proses dan langkah ini berlaku semenjak puluhan tahun dahulu sebelum ulamak muda UMNO menjadi ahli UMNO lagi.  Dalam erti kata lain, untuk menasihati UMNO tidak perlu masuk UMNO dan bukan ahli UMNOpun boleh menasihati UMNO kerana sejarah menyaksikan proses dakwah dari kedua-dua pihak-ahli dan bukan ahli UMNO- sudah berjalan semenjak sekian lama. Semua bentuk dakwah dan nasihat samada secara sembunyi, senyap, terang-terangan, menghantar memorandum bantahan, menyatakan ketidakwajaran, kenyataan akhbar, dan pelbagai bentuk teguran telah dibuat sejak sekian lama.   Isunya di sini bukan UMNO tidak sampai dakwah tetapi sebaliknya  sikap UMNO tidak menerima dakwah dan nasihat.

Oleh itu, apa untung dan maslahat Ulamak Muda UMNO menjadi ahli UMNO untuk berdakwah?  Adakah kerana tidak ada ustaz dalam UMNO?  Jawapannya sudah ada sebelum ini ustaz-ustaz UMNO yang sudah kering air liur menasihati UMNO sehingga ada dari kalangan mereka sudah meninggal dunia dan ada yang bertaubat masuk PAS.  Adakah berdakwah dan menasihati UMNO perlu dan wajib menjadi ahli UMNO?  Jawapannya ialah sebaliknya iaitu tidak perlu dan tidak wajib  seseorang da’ei atau pendakwah menjadi ahli dan menyertai individu, parti dan kumpulan seperti UMNO apatahlagi jika tindakan sedemikian menguatkan dan merupakan satu pengiktirafan terhadap kumpulan, individu, parti yang zalim dan berdosa tersebut. 

Allah ta’ala melarang kita menyokong kezaliman dan menyuruh kita berpaling dari golongan yang tidak menerima nasihat apatahlagi menyertai dan menjadi ahli pertubuhan yan zalim.  Firman Allah ta’ala dalam surah Hud ayat 113:-


ولا تركنوا إلى الذين ظلموا فتمسكم النار وما لكم من دون الله من أولياء
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah.

Firman Allah dalam surah An-Najm ayat 29:-

فأعرض عنمن تولى عن ذكرنا ولم يرد إلا الحياة الدنيا

Maksudnya: “ Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling(tidak menerima) dari pengajaran kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata.

Jadi jelas di sini, kesalahan pertama ustaz-ustaz UMNO dalam isu ini ialah menyertai parti yang diakui dan nyata korup, zalim dan tidak menjadikan Quran & Sunnah sebagai dasar.  Mereka keliru konsep dan batasan المخالطة  dalam dakwah.  Mereka membaca ayat-ayat Quran dalam ceramah mereka, menyeru rakyat mencari pemimpin yang adil dan amanah, menolak segala tindakan yang bercanggah dengan Quran & Sunnah, dan membid’ahkan banyak amalan-amalan tetapi mereka sendiri menyokong dan memilih untuk berada dalam parti tidak adil, tidak amanah, bid’ah dan tidak berdasarkan Quran & Sunnah.  Mereka tidak sedar yang mereka sekarang ini telah dijadikan sebagai perisai, benteng dan senjata UMNO untuk melawan pergerakan Islam dan meneguhkan kezaliman dan kemaksiatan mereka. 
  
Sepatutnya kalau ustaz-ustaz UMNO itu faham fiqh dakwah, mereka sudah pasti menyertai, menjadi ahli dan memilih sahabat, kumpulan, NGO’s dan parti yang baik, mentaati Allah dan menjadikan Quran & Sunnah sebagai dasar.  Sepatutnya mereka menyertai  PAS yang merupakan parti sokongan para ilmuan dan ustaz-ustaz atau mereka menyertai JIM, IKRAM, ABIM, ISMA atau NGO-NGO Islam yang lain.  Cukuplah JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, ustaz-ustaz UMNO yang sudah lama di dalam UMNO teruskan dakwah mereka secara المخالطة dan ustaz-ustaz UMNO(ILMU) sepatutnya menjadikan mereka sebagai iktibar.

2)Konsep  المقاطعة: Pulau & Sisih

Konsep dakwah memulau dan menyisih bermaksud tidak bergaul, tidak mendekati,  tidak bercakap, tidak menghadiri majlis mana-mana individu, kumpulan, parti dan seumpamanya yang zalim, berdosa, dan tidak menjadikan Quran & Sunnah sebagai dasar.   Konsep ini perlu dilakukan oleh seorang da’ei atau kumpulan, parti Islam atau badan-badan dakwah lain setelah mereka melaksanakan konsep dakwah yang pertama iaitu المخالطة(bergaul dan mendekati) sebagaimana yang dihuraikan sebelum ini namun individu, kumpulan, parti tidak berubah bahkan semakin angkuh dan tetap melakukan maksiat dan kezaliman. 

Dalil konsep ini ialah Rasulullah dan para sahabat pernah memulau 3 orang sahabat iaitu Kaab bin Malik, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi` disebabkan dosa mereka tidak keluar bersama menyertai jihad dalam peperangan Tabuk sehingga mereka sedar dan turun ayat Surah at-Taubah 118 yang bermaksud:-

"Dan terhadap 3 orang yang ditangguhkan penerimaan taubatnya oleh Allah, sehingga mereka merasakan bumi Allah yang luas ini menjadi begitu sempit. Dan sehinggakan mereka merasakan diri mereka juga begitu sempit. Dan mereka merasakan bahwa mereka tidak dapat melarikan diri daripada azab Allah. Kemudiannya Allah menerima taubat mereka, supaya mereka tetap dalam keadaan bertaubat. Sesungguhnya Allah itu, adalah Tuhan yang Maha menerima taubat." 

Para da’ei dan pendakwah juga harus tidak menjawab salam mereka sebagaimana pendapat Imam Ghazali dan Ibni Taimiah walaupun menjawab salam itu hukumnya wajib pada asalnya.  Ini kerana ketika berada dalam tandas dan qadha hajat(kencing berak) seseorang tidak wajib menjawab salam walaupun hukumnya wajib apatahlagi dalam keadaan tujuan dakwah sudah pasti diharuskan kerana maslahat dakwah itu lebih besar dari qadha hajat[1].

Di sini kita nampak satu lagi kesilapan ustaz-ustaz UMNO.  Mereka hanya menghadkan dakwah mereka dengan konsep المخالطة (mendekati dan bergaul) dengan UMNO sahaja sehingga mereka menjadi ahli  UMNO.    Walaupun teguran mereka tidak dicakna, nasihat mereka tidak disahut dan tiada apa-apa perubahan berlaku pada UMNO mereka teguh berdiri dibelakang dan depan UMNO sehingga dilihat mereka seolah-olah ustaz-ustaz yang bacul, pengecut dan hina.  Apatahlagi apabila mereka “Ulama Muda Umno tidak menolak untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya sekiranya mendapat lampu hijau dari kepimpinan”[2] menunjukkan tujuan dakwah ustaz Muda UMNO sudah tersasar dan tujuan jawatan dan dunia menjadi agenda mereka pula.  

Apabila ditanya ustaz-ustaz muda UMNO, kenapa sehingga sekarang UMNO masih tidak berubah dan masih tidak menjadikan Quran & Sunnah sebagai dasar perjuangan?  Kita dapat simpulkan jawapan mereka ialah tugasan mereka hanyalah menasihati bukan memberi hidayah.  Hanya Allah yang memberi hidayah.  Jika itu jawapan mereka, apa guna masuk dan menyertai UMNO kerana kesan dakwah mereka sama sahaja dengan dakwah ustaz-ustaz yang tidak menyertai UMNO.   Oleh itu tindakan gerakan Islam seperti PAS menjauhi dan memulau UMNO adalah satu tindakan yang wajar dan menepati fiqh dakwah.  Sepatutnya tindakan sebegitu dilakukan oleh ustaz-ustaz UMNO dan kumpulan serta NGO’s yang lain demi untuk melihat perubahan yang baik pada UMNO.

3)Konsep المفارقة: Tinggal dan cari mad’u sasaran dakwah lain.

Jika kaedah المخالطة  dan المقاطعة tidak berjaya, langkah seterusnya ialah المفارقة.   Ia bermaksud meninggal dan mencari atau menukar mad’u dan sasaran dakwah yang lain.  Langkah ini diharuskan merujuk kepada beberapa dalil berikut:-

Firman Allah dalam surah Maryam ayat 48 menceritakan kisah dakwah Nabi Ibrahim dan dakwah beliau terhadap ayahnya sehingga beliau meninggalkan ayahnya sendiri.

وأعتزلكم وما تدعون من دون الله وأدعوا ربي عسى ألا أكون بدعاء ربي شقيا

Maksunya:  Dan aku(Ibrahim) akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah selain dari Allah; dan  aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)".
Firman Allah ta’ala mengisahkan dakwah Musa terhadap Firaun dalam surah Ad-Dukhan ayat 21:-

وإن تؤمنوا لي فاعتزلون

Maksunya:  "Dan sekiranya kamu tidak juga mahu berimankan kerasulanku, maka putuskanlah perhubungan kamu denganku

Firman Allah menceritakan sikap ustaz-ustaz muda iaitu Ashabul Kahfi telah mengasingkan diri dan meninggalkan kaum mereka lari ke gua Kahfi setelah dakwah mereka tidak diterima dalam surah Al-Kahfi ayat 16

وإذ اعتزلتموهم وما يعبدون إلا الله فأووا إلى الكهف ينشرلكم ربكم من رحمته ويهئ لكم من أمركم مرفقا

Maksudnya: “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".

Konsep المفارقة   ini sedang berlaku sekarang ini.  Para ilmuan Islam, ustaz-ustazah, dan rakyat jelata nampaknya mahu meninggal dan mencari atau menukar UMNO dengan parti atau pemimpin yang lain sebagai sasaran dakwah mereka.  Mereka telah jemu dan jelek dengan UMNO yang sekian lama ditegur dan dinasihati tetapi tidak menjadi.  Hasrat tersebut dinyatakan dan dizahirkan oleh mereka dalam himpunan BERSIH 3, Himpunan HIJAU dan siri-siri demontrasi yang lain.  Konsep ini nampaknya menjadi apabila UMNO kelihatan semakin cemas dan terpaksa mengubah sistem pilihanraya, melakukan banyak langkah tranformasi, mewujudkan kedai-kedai dan klinik 1 Malaysia,  memberi wang 1 Malaysia, boucer tayar dan seumpamanya walaupun itu semua ialah tindakan dan keputusan politik sempena dekat menjelangnya pilihanraya 13.

Dalam keadaan sebegini,  ustaz-ustaz  UMNO terus mempertahankan pegangan, pendapat dan konsep dakwah mereka walaupun pada pendapat penulis ia adalah salah.  Namun kelihatan dakwah mereka bukan ke arah mengubah UMNO tetapi sebenarnya menguatkan UMNO dan menjadi benteng UMNO.  Mereka kita lihat lebih hampir kepada istilah pengampu, pencacai dan 'terompah kayu' UMNO.  Mereka mempertahankan UMNO dan pada masa yang sama mereka juga mengakui kesilapan UMNO.  Bagi mereka semua orang, parti, kumpulan dan pertubuhan tidak sunyi dari dosa dan kesilapan.  Oleh itu, maafkan sahaja kesilapan UMNO.

Apakah susah nak buang UMNO wahai ustaz-ustaz UMNO?  Jika anda berada dalam solat, imam melakukan perbuatan yang membatalkan solat, adakah anda mahu terus solat bersama imam?  Sudah pasti anda menjawab :” Saya wajib  mufaraqah imam kalau tidak solat saya terbatal.  Oleh itu UMNO bukan imam kita.  Imam kita ialah Islam yang bersumberkan Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias.    Apakah susah hendak tinggalkan UMNO demi mengangkat Quran & Sunnah?  Sedangkan ia menepati konsep dan fiqh dakwah dalam Islam. Kemungkinan dengan izin Allah ta’ala konsep المفارقة ini akan menyedarkan UMNO setelah gagalnya konsep المخالطة dan المقاطعة  yang telah dilakukan.  Semuanya untuk kebaikan dan dakwah kepada Islam.

Wallahua’lam.


[1] Pendapat ini telah disebut oleh Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Usul Ad-Dakwah,  Beirut, Muassasah Ar-Risalah, Ctk 6, muka surat 368.  Beliau mengambil pendapat Imam Ghazali dari bukunya Ihya’ Ulumuddin Juzuk 2 mukasurat 149 dan Majmu’ Fatawa Ibni Taimiah juzuk 8 mukasurat 216-218.
[2] Sila lihat dalam :-  http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ulama-muda-umno-sedia-bertanding-pru-jika-diberi-peluang/

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

3 konsep tersebut juga perlu di amalkan terhadap DAP.

Tanpa Nama berkata...

...nice hujah. Tun Mahathir mengakui UMNO adalah parti perasuah yang busuk hingga ke Usus.
Tapi apa boleh buat Salafi Umno tetap dibelakang parti Umno yg nasionalis,rasis, pragmatis !. Saya rasa kasihan pada mereka, kalu mereka jadi neutral non partisan dan memaikan peranan untuk nasihat UMNo serta PAS dll seperti DR MAZA, rasa nya mereka akan di hormati dan kredibiliti mereka terjaga, ini mereka sudah jatuh , menjatuhkan kredibiliti mereka sendiri !