Isnin, 19 Ogos 2013

IBNI TAIMIAH: ULAMAK YANG DIZALIMI





Golongan yang menyesat dan mengkafirkan Ibni Taimiah -Abu Abbas Taqiuddin Ahmad bin Abdus Salam bin Abdullah bin Taimiyah al Harrani), lahir pada 661h dan wafat pada 728 H- sentiasa mengambil dan mengulangi pendapat-pendapat ulamak silam terhadap beliau seperti Al-‘Ala Al-Bukhari, Al-Haitami, Ibni Battutah, dan selain mereka.  Mereka tidak menjelaskan dengan terperinci pendapat dan kata-kata ulamak tersebut meskipun terdapat buku-buku yang telah mengupas dengan panjang lebar isu tersebut.  Bermula dengan orang awam dan juga individu yang berstatus ustaz dan ulamak masih ada antara mereka mengkafirkan dan menyesatkan Ibni Taimiah.  Mereka ini mengalami salah satu antara dua sifat samada kurang ilmu iaitu jahil atau kurang adab iaitu jahat.  Jahil kerana kurang maklumat dan jahat kerana kurang adab dengan ulamak walaupun memiliki ilmu yang banyak.


Untuk mengelirukan orang ramai mereka mengguna nama-nama ulamak terkenal seperti Bukhari bagi  Al-‘Ala Al-Bukhari dan Ibni Hajar bagi Ibni Hajar Al-Haitami seolah-olah yang menyesatkan Ibni Taimiah ialah ulamak terkenal dan masyhur seperti Ibni Hajar Al-Asqalani pengarang kitab Fathul Bari dan juga Imam Bukhari penulis kitab Sohih Bukhari. Jika ada sesiapa yang menyanggah pendapat mereka dalam isu ini, mereka akan bertanya: 

“Apakah saudara lebih alim dari Ibni Hajar dan Bukhari?”.
 
Lantas akan terdetik dalam hati mereka yang kurang pendedahan dan bacaan: 

“Takkanlah Bukhari yang terkenal dengan sohih bukhari yang paling dipercayai selepas Quran dan Ibni Hajar yang terkenal dengan kitab Fathul Bari tersilap ?   Mereka ulamak dipercayai dan diterima sudah pasti kata-kata mereka berdua adalah benar dan tepat dalam menyesatkan Ibni Taimiah.”  

Inilah antara kekeliruan yang berjaya diwujudkan hasil kemiskinan maklumat dan ilmu dalam masyarakat kita.  Jadi, dalam penulisan ini, akan dikupas secara ringkas bersandarkan pendapat-pendapat dan kata-kata ulamak tersebut terhadap Ibni Taimiah antaranya ialah seperti berikut:-

1) Ibni Hajar(909-973h).

Ibni Hajar yang dimaksudkan bukan Ibni Hajar Al-Asqalani(773-852h) penulis kitab Fathul Bari Syarah Sohih Al-Bukhari yang terkenal tersebut.  Nama Ibni Hajar Al-Asqalani ialah Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Al-Kinani Al-Asqalani.  Asal keturunannya dari Asqalan, Palestin.  Dilahirkan pada tahun 773h di Kaherah dan meninggal dunia pada tahun 852h di Keherah juga. Ibni Hajar Al-Asqalani memuji Ibni Taimiah dengan berkata[1]

(وشهرة إمامة الشيخ تقي الدين ابن تيمية أشهر من الشمس، وتلقيبه بـ "شيخ الإسلام في عصره باق إلى الآن على الألسنة الزكية، ويستمر غدا كما كان بالأمس.  ولا ينكر ذلك إلا من جهل مقداره......)

Maksudnya:- Kemasyhuran ke’imam’an Syeikh Taqiyyuddin Ibni Taimiah lebih masyhur/jelas dari matahari.  Dan gelarannya dengan ‘Syeikh Islam di zaman beliau telah kekal sehinggga sekarang diperkatakan oleh lidah-lidah yang bersih.  Ia akan berkekalan esok hari sebagaimana adalah ia kekal semalam.  Tidak mengingkari demikian itu melainkan sesiapa yang jahil tahap kemampuan beliau(Ibni Taimiah).

Berkata Ibni Hajar Al-‘Asqalani lagi:- 

(فالواجب على من تلبس بالعلم، وكان له عقل: أن يتأمل كلام الرجل من تصانيفه المشهورة، أو من ألسنة مَن يوثق به من أهل النقل.)

Maksudnya:- Maka wajib ke atas  sesiapa yang telah keliru dengan ilmunya dan dia ada akal pemikiran meneliti kata-kata lelaki ini(Ibni Taimiah) dari buku-buku karangan beliau yang terkenal, atau dari kata-kata sesiapa yang boleh dipercayai dari kalangan ulamak  naqli(Quran & Sunnah).

Sebaliknya fatwa Ibni Hajar yang diambil oleh mereka yang mengkafir dan menyesat Ibni Taimiah ialah fatwa Ibni Hajar Al-Haitami Al-Makki yang dilahirkan di Mesir pada tahun 909h dan wafat di Mekah Al-Mukarramah pada tahun 973h.  Beliau telah menyesatkan Ibni Taimiah dengan katanya: 

(عبد خذله الله تعالى وأضله وأعماه وأصمه وأذله)

“Hamba yang telah dikecewa oleh Allah, telah disesatkan olehNya, dibuta, dipekak dan telah dihina olehNya”.

Dalam mengupas fatwa atau kata-kata Ibni Hajar Al-Haitami tersebut, Syeikh Abu Al-Hasan Ali An-Nadawi berpendapat Ibni Hajar Al-Haitami tidak menelaah buku-buku Ibni Taimiah dan maklumat yang beliau terima tidak secara terus dan berdepan dengannya secara peribadi.  Bahkan sumber pendapat dan fatwanya terhadap Ibni Taimiah ialah berita-berita dan khabar angin yang disebarkan oleh musuh Ibni Taimiah[2].  Buktinya ialah Ibni Hajar Al-Haitami menyebut dalam fatwanya:

(وقال بعضهم ومن نظر إلى كتبه لم ينسب إليه أكثر من هذه المسائل)

Maksudnya: “Dan telah berkata sebahagian mereka dan orang yang telah melihat buku-bukunya(Ibni Taimiah), tidak disandarkan kepadanya(Ibni Taimiah) lebih daripada masalah-masalah (tersebut) ini”.

Kata-kata di atas menunjukkan Ibni Hajar Al-Haitami tidak membaca sendiri buku-buku Ibni Taimiah dan tidak menemui beliau.  Bahkan diakhir fatwa, beliau ada menyebut:

(فإن صح عنه مكفر أو مبدع يعامله الله تعالى بعدله وإلا يغفر الله لنا وله)

Maksudnya: “Sekiranya ia adalah benar darinya(Ibni Taimiah) yang ia membawa kepada kekufuran dan bid’ah.  Allah akan berurusan dengannya(Ibni Taimiah) dengan keadilanNya.  Jika tidak (benar dari Ibni Taimiah) Allah akan mengampunkan dosa kita dan dosanya(Ibni Taimiah).”

Kata-kata di atas menunjukkan Ibni Hajar Al-Haitami sendiri teragak-agak dalam memutuskan kebenaran fatwanya dan ia tergantung jika maklumat yang diterimanya benar-benar adalah kata-kata datang dari Ibni Taimiah.  Jadi bagi mereka yang mengambil kata-kata Ibni Hajar Haitami hendaklah mengambil kata-kata beliau kesemuanya.  Jangan hanya mengambil separuh dan meninggal atau sengaja mendiamkan kata-katanya yang separuh lagi.  Itu namanya menipu dengan menipu dan mengekploitasi kata-kata ulamak.  Itulah namanya memfitnah dan mengadu domba yang hukumnya adalah haram dan dosa besar.  Itu juga namanya sesat dan menyesatkan orang lain.

Dalam isu ini,  Al-‘Allamah Khairuddin Nu’man Al-Alusi anak kepada ahli tafsir terkenal iaitu Mahmud Al-Alusi penulis kitab tafsir “Rul Al-Ma’ani” telah mengarang sebuah kitab bertajuk (جلاء العينين في محاكمة الأحمدين)  sebagai jawapan secara detil terhadap tohmahan Ibni Hajar Al-Haitami tersebut.  Kitab ini telah dicetak di Matba’ah Bulaq, Mesir pada tahun 1298h meliputi 362 mukasurat mengikut kata Syeikh Abu Al-Hasan Ali An-Nadawi yang menjadikan antara rujukan beliau dalam menulis kitab beliau ‘Al-Hafiz Ahmad Bin Taimiah’.

2) Al-Bukhari(779-841h):-

                Al-Bukhari di sini bukannya Al-Bukhari pengarang kitab Sohih Bukhari yang terkenal tersebut sebaliknya beliau ialah Al-‘Ala’ Al-Bukhari(العلاء البخاري).  Namanya Muhammad Bin Muhammad Al-‘Ajami.  Dilahirkan di Iran pada tahun 779h dan dibesarkan di Bukhara.  Selepas itu beliau berhijrah ke India kemudian ke Mekah dan menetap di Mesir pada tahun 832h.  Selepas itu beliau berpindah ke Damascus dan menetap di sana sehinggalah meninggal dunia pada tahun 841h.  Kuburnya di Mezzah, Damascus.  Beliau sangat memusuhi Syeikh Mahyuddin Ibni ‘Arabi dan Ibni Taimiah sehingga menulis sebuah kitab yang bertajuk (فاضحة الملحدين وناصحة الموحدين)[3].

                Al-‘Ala Al-Bukhari terkenal dengan sanggahan dan tuduhan keras terhadap ulamak sezaman dengannya.  Selain Ibni Taimiah dan Ibni Arabiy At-To’I,  Al-‘Ala Al-Bukhari juga menyanggah Imam Nawawi.  Pendapat beliau terhadap Imam Nawawi ialah seorang yang bermazhab Zhohiriah dan kitab-kitab beliau tidak harus dibaca.  Kata beliau:-

(لا يجوز النظر في كتبه وإنه رجل ظاهري)

Maksudnya: Tidak harus membaca buku-bukunya dan sesunguhnya dia(Imam Nawawi) seorang bermazhab Zhohiri).

Semasa Al-‘ala Al-Bukhari menetap di Damascus beliau menyanggah Ibni Taimiah dengan berkata:-

(من زعم أن ابن تيمية شيخ الإسلام فهو كافر)

Maksudnya: Sesiapa yang mendakwa Ibni Taimiah adalah Syeikh Islam, maka dia kafir.

Tuduhan dan fatwa di atas telah disanggah oleh Ibni Nasiruddin Ad-Dimasqi As-Syafei(w842h) dalam kitab karangan beliau iaitu (الرد الوافر على من زعم: بأن من سمى ابن تيمية شيخ الإسلام كافر)[4].  Beliau telah menjawab tuduhan dan fatwa Al-‘Ala Al-Bukhari tersebut dan mengumpul penyaksian dan pegiktirafan 87 orang ulamak sezaman dengan Ibni Taimiah dan kitab tersebut telah disokong oleh ulamak-ulamak terkenal seperti Ibni Hajar Al-‘Asqalani, Al-‘Allamah Al-‘Aini dan selainnya.  Antara ulamak-ulamak yang memuji dan mengiktiraf Ibni Taimiah yang disebut oleh Ibni Nasiruddin Ad-Dimasqi ialah antaranya :-

1)      Al-Imam Az-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad(w748h) pengarang kitab yang terkenal iaitu سير أعلام النبلاء(20 jilid), تاريخ الإسلام(20 jilid), ميزان الإعتدال dan selainnya.  Merupakan murid Ibni Taimiah dan Imam dalam ilmu jarah dan ta’dil dalam ilmu Hadith.  Antara pengktirafan Az-Zahabi terhadap Ibni Taimiah ialah:-

يا موت خذ من أردت أو فدع               محوت رسم العلوم والورع
اخذت شيخ الإسلام وانفصمت              عرى التقى واشتفى أولو البدع [5]

Maksudnya 

Hai mati ! Ambillah siapa yang engkau mahu dan tinggallah
                                                 Engkau telah padamkan lukisan ilmu-ilmu dan wara’
Engkau telah ambil Syeikh Islam(Ibni Taimiah) dan telah terlerai
                                                 Ikatan takwa dan telah sembuh ahli bid’ah.


2)      As-Subki, Muhammad Bin Abdil Bar As-Syafei(707h-777h).  Merupakan Qadhi Damsyik mengantikannya Taqiyuddin As-Subki dan menjadikan Qadhi Damsyik sepenuhnya pada tahun 772h dan meninggal di Damsyik.  Beliau pernah menjadi Qadhi Mesir pada tahun 766h.  

Jawapan beliau terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada Ibni Taimiah ialah:-

(والله يا فلان ! ما يبغض ابن تيمية إلا جاهل، أو صاحب هوى.  فالجاهل لا يدري ما يقول، وصاحب الهوى يصده هواه عن الحق بعد معرفته له)

             Maksudnya:- Demi Allah wahai fulan ! Tidak memarahi Ibni Taimiah kecuali orang jahil atau mengikut hawa nafsu.  Orang yang jahil dia tidak tahu apa yang di ucapkan dan orang yang mengikut hawa nafsu, kebenaran akan ditutup oleh nafsunya selepas dia mengetahuinya).[6]

3)      Ibni Daqiq Al-Eid, Muhammad Bin Ali(w702h).  Pengarang kitab الإلمام في الأحكام, الأربعين في الرواية عن رب العالمين, dan selainnya.  Beliau berkata[7]

(لما اجتمعت بابن تيمية رأيت رجلا العلوم كلها بين عينيه، يأخذ ما يريد ويدع ما يريد)

Maksudnya: “Ketika aku bertemu dengan Ibni taimiah, aku melihatnya seorang lelaki yang semua ilmu berada didepan kedua matanya.  Beliau mengambil dan membiarkan apa yang beliau mahu.”
Beliau juga menyebut:-

(ما كنت أظن أن الله تعالى بقي يخلق مثلك)

Maksudnya: Adalah aku tidak merasakan Allah ta’ala akan tetap mencipta seseorang seperti engkau(Ibni Taimiah).

4)      Abu Hayyan Al-Andalusi, Muhammad Bin Yusuf(654h-745h).  Pengarang kitab tafsir masyhur iaitu Al-Bahru Al-Muhit(البحر المحيط), At-Tazhiil Wa At-Takmil(التذييل والتكميل في شرح التسهيل)dan selainnya.  Pakar dan imam ilmu nahu di zamannya.  Beliau memuji Ibni Taimiah dengan berkata: -

(ما رأيت عيناي مثل ابن تيمية)

Maksudnya:- Dua mataku tidak melihat sebelum ini seseorang seperti Ibni Taimiah)
Di dalam syair, beliau memuji Ibni Taimiah dengan menyebut:-

قام ابن تيمية في نصر شرعتنا             مقام سيد تيم إذ عصت مضرُ
فأظهر الحق إذ آثاره درست                وأخمد الشر إذ طارت له شرر
كنا نحدث عن حبر يجيء فها              أنت الإمام الذي قد كان ينتظر[8]

Maksudnya:-

Bangkit Ibni Taimiah menegakkan syariat kita
                Mengambil tempat Sayyid Taim(Abu Bakar As-Siddiq) ketika telah berdosa yang berdosa
Maka dia menegakkan kebenaran ketika kesan-kesannya terhapus
                Dan dia memadam kejahatan ketika kejahatan-kejahatan terbang kepadanya
Kita berbicara tentang seorang alim yang tiba
                Itu dia engkau Imam(Ibni Taimiah) adalah yang ditunggu.

Pengiktirafan Abu Hayyan Al-Andalusi terhadap Ibni Taimiah tidak dapat disangkalkan lagi.  Walaupun di sana terdapat perselisihan antara beliau dengan Ibni Taimiah, perselisihan tersebut lebih kepada sifat manusia yang lemah tidak dapat menerima kelebihan yang ada pada seseorang dan tidak dapat menerima persaingan dari ulamak yang lain.  Abu Hayyan Al-Andalusi tidak selesa dengan Ibni Taimiah sehingga membuang syair-syair pujian terhadap Ibni Taimiah dari koleksi syairnya kerana perselisihan dalam masalah ilmu nahu.  Abu Hayyan telah berhujah dengan pendapat-pendapat Sibaweh dengan anggapan Ibni Taimiah akan senyap dan tunduk dengan pendapat Sibaweh tersebut.  Namun sebaliknya Ibni Taimiah menjawab dengan berkata[9] :-

(يفشر سيبويه ! أسيبويه نبي النحو أرسله الله به حتى يكون معصوما ؟ سيبويه أخطأ في الكتاب في ثمانين موضعا، لا تفهمها أنت ولا هو.)

Maksudnya:- Dakwaan Sibaweh salah !  Apakah Sibaweh itu Nabi dalam bidang Nahu yang telah diutuskan oleh Allah sehingga tidak melakukan kesilapan?  Sibaweh telah silap dalam buku beliau “Al-Kitab” sebanyak 80 tempat, tidak difahami oleh engkau(Abu Hayyan) dan dia(Sibaweh).

Jawapan Ibni Taimiah dengan berkata “Dakwaan Sibaweh salah !” tersebut dianggap tidak wajar oleh Abu Hayyan lalu menarik balik pujiannya terhadap Ibni Taimiah.  Jelas di sini perselisihan antara keduanya lebih kepada perselisihan bersandarkan emosi bukan ilmu.  Ia tidak boleh sama sekali dijadikan sandaran untuk menyesatkan Ibni Taimiah apatahlagi mengkafirkannya.

                Banyak lagi ulamak yang mengiktiraf Ibni Taimiah selain yang tersebut di atas antaranya ialah Ibni Jama’ah(w790), Ibni Kathir(w774h), Ibni Rejab(w795), Al-Hafiz Al-‘Iraqi(w806h), Al-Bazzar(w749h), Al-Maraghi(w732h), Al-Mizzi(w742h), dan selain mereka seramai 87 orang ulamak semuanya yang sezaman dengan Ibni Taimiah  disebut oleh Ibni Nasiruddin Ad-Dimasyqi dalam kitab beliau[10].  Semuanya adalah untuk menyangkal dakwaan Al’-‘Ala Al-Bukhari iaitu : “Sesiapa yang menganggap Ibni Taimiah adalah Syeikh Islam maka dia kafir”. 

Bagi sesiapa yang membenarkan kata-kata Al’-‘Ala Al-Bukhari dan mahu mengamalkannya, adakah dia menganggap imam-imam yang terkenal dan masyhur tersebut dan juga ulamak-ulamak zaman kini yang mengitiraf Ibni Tamiah dan menganggapnya sebagai Syeikh Islam seperti Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikh Dr Muhammad Said Al-Bouty, dan seumpamanya adalah kafir?  Oleh itu, berpada-padalah dalam mengambil kata-kata ulamak.  Kata-kata mereka yang melampau hendaklah ditolak.  Semua kata-kata manusia di ambil dan ditolak kecuali kata-kata Rasulullah sollahu’alaihiwasallam.

3) Ibnu Battutah(703-779h).

Ibnu Battutah namanya ialah Muhammad bin Abdullah dan Muhammad At-Tonji. Di lahirkan pada tahun 703h di Tonjah.  Beliau seorang pelayar Islam keluar dari kampungnya Tonjah memulakan pelayarannya pada tahun 725h mengelilingi dunia melawati negeri Maghribi, Mesir, Sudan, Syam, Hijaz, Iraq, Parsi, Yaman, Oman, Bahrain, Turkistan, negeri-negeri Balkan, India, China, Jawa, Tatar, Afrika dan lain-lain.  Catatan pelayaran beliau di kenali dengan “رحلة ابن بطوطة

Antara cerita yang sering diulangi oleh golongan yang gemar menyesat dan mengkafirkan Ibni Taimiah ialah cerita yang diriwayat oleh Ibnu Battutah dalam catatan rehlah beliau iaitu Ibni Taimiah memberi peringkatan(khutbah) di atas mimbar  Masjid di Damascus dan berkata:

(إن الله ينزل إلى سماء دنيا كنزولي هذا، ونزل درجة من درج المنبر)

Maksudnya:- “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti turun aku ini.  Dia(Ibni Taimiah)pun turun satu anak tangga dari tangga mimbar.”  

Unggapan “Allah turun ke langit dunia seperti turun aku ini” memberi erti Ibni Taimiah menyamakan Allah ta’ala dengan manusia iaitu turun Allah seperti turunnya manusia beranggota seperti manusia.  Menyamakan Allah sama dengan makhluk adalah kafir.  Apakah benar Ibni Taimiah menyamakan Allah dengan makhluk sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Battutah?

Dalam menjawab soalan di atas, ulamak menafikan lelaki yang berkhutbah di atas mimbar tersebut adalah Ibni Taimiah berdasarkan beberapa hujah[11]:-

1)      Semasa Ibnu Battutah sampai di Dasmascus pada bulan Ramadan tahun 726h, Ibni Taimiah telah dipenjara pada tahun tersebut sehingga beliau wafat. Jadi bagaimana Ibnu Battutah boleh mendengar khutbah dari Ibni Taimiah dan menemui beliau sedang beliau berada dalam penjara?  Ini menunjukkan khutbah dan khatib yang dilihat dan di dengar oleh Ibnu Battutah bukannya Ibni Taimiah.

2)      Ibni Taimiah bukan seorang khatib tetapi beliau seorang guru yang mengajar dengan duduk di atas kerusi sebagaimana yang diceritakan oleh Az-Zahabi dan Al-Barzaliy. 

3)      Semasa Ibnu Battutah melawati Damascus, khatib masjid jami’ Umawi ialah As-Syeikh Jalaluddin Al-Qazwini.

4)      Jika diteliti dalam buku-buku tulisan Ibni Taimiah, tidak ditemui kenyataan beliau Allah turun dari langit sama dengan manusia turun dari tempat tinggi beranggota badan.  Jika benar kenyataan Ibnu Battutah terhadap Ibni Taimiah tersebut, sudah pasti terdapat dalam buku-buku Ibni Taimiah.

Dari hujah di atas menunjukkan berlaku kesilapan dan kekeliruan Ibnu Battutah dalam catatan beliau tersebut atau berlaku pemalsuan.  Kekeliruan tersebut tidak boleh dijadikan sandaran dan bukti untuk mengkafirkan Ibni Taimiah apatahlagi jika dibaca kitab-kitab Ibni Taimiah, didapati akidah dan pegangan beliau dalan bab ini ialah Allah ta’ala bersalahan dengan makhluk.  Cuba teliti kata-kata Ibni Taimiah dalam menerangkan tentang hadith Nuzul(hadith Allah turun ke langit dunia) di bawah:-

(.......من فهم من هذا الحديث وأمثاله ما يجب تنزيه الله عنه كتمثيله بصفات المخلوقين ووصفه بالنقص المنافي لكماله الذي يستحقه ; فقد أخطأ في ذلك وإن أظهر ذلك منع منه وإن زعم أن الحديث يدل على ذلك ويقتضيه فقد أخطأ أيضا في ذلك)[12].

Maksudnya:- ….. Sesiapa yang faham dari hadith tersebut(hadith nuzul) dan hadith sepertinya: bahawa tidak wajib menyucikan Allah seperti menyamakanNya dengan sifat-sifat makhluk dan meyifatkanNya dengan kekurangan yang menafikan kesempurnaan yang layak bagiNya; maka sesungguhnya dia telah silap pada yang demikian itu.  Jika dia menzahirkannya, ditegah darinya.  Sekiranya dia mendakwa bahawa hadith tersebut menunjukkan yang demikian(sifat Allah sama dengan sifat makhluk) dan mengandungi maknanya, maka dia telah silap juga pada yang demikian itu.

Akidah Ibni Taimiah dalam bab sifat Allah ta’ala ialah seperti katanya dalam kitab beliau Majmu’ Fatawa :-

(القول في الصفات كالقول في الذات: فإن الله ليس كمثله شيء في ذاته، ولا في صفاته، ولا في أفعاله.  فإذا كان له ذات حقيقة لا تماثل الذوات، فالذات متصفة بصفات حقيقة لا تماثل سائر الصفات)

Maksdunya: Pendapat pada sifat-sifat Allah sama dengan pendapat pada zatNya. Maka sesungguhnya Allah tidak ada persamaan bagiNya dengan sesuatu pada zatNya, tidak ada persamaan pada sifat-sifatnya, dan tidak ada persamaan pada perbuatan-perbuatanNya.  Maka apabila adalah bagiNya zat yang hakikat/sebenar(bukan majaz) yang tidak menyamai zat-zat(makhluk), zat pula bersifat dengan sifat-sifat secara hakikat/sebenar(bukan majaz) yang tidak sama dengan semua sifat-sifat makhluk yang lain)[13]
Dalam mengulas istiwa’ Allah ta’ala, Ibni Taimiah menyebut:-

(وَلِلَّهِ تَعَالَى اسْتِوَاءٌ عَلَى عَرْشِهِ حَقِيقَةً وَلِلْعَبْدِ اسْتِوَاءٌ عَلَى الْفُلْكِ حَقِيقَةً ؛ وَلَيْسَ اسْتِوَاءُ الْخَالِقِ كَاسْتِوَاءِ الْمَخْلُوقِينَ ؛ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَفْتَقِرُ إلَى شَيْءٍ وَلَا يَحْتَاجُ إلَى شَيْءٍ بَلْ هُوَ الْغَنِيُّ عَنْ كُلِّ شَيْءٍ (.

Maksudnya:-
Dan bagi Allah istiwa’ atas ‘arasyNya adalah hakikat/sebenar(bukan majaz) dan bagi hamba istiwa’ di atas falak adalah hakikat/sebenar(bukan majaz).  Dan bukan istiwa’ Allah seperti istiwa’ makhluk.  Sesungguhnya Allah tidak memerlukan kepada sesuatu dan  Dia tidak berhajat kepada sesuatu bahkan Dia Maha Kaya dari segala sesuatu[14].

Apabila di teliti akidah Ibi Taimiah di atas dalam bab sifat Allah ta'ala, kita dapati ia bercanggah dengan apa yang didakwa oleh Ibni Battutah.  Menjadi tangungjawab setiap muslim membuang segala yang ragu dan mengambil yang yakin supaya tidak berlaku zalim dalam menghukum.  Bersangka baik sesama muslim itu wajib dan setiap individu yang memeluk Islam dengan yakin, menuduh dia keluar dari Islampun hendaklah dengan hujah dan bukti yang yakin.  Bukti dan hujah yang meragukan tidak membatalkan keIslamnya yang diyakini.  Kaedah ada menyebut:- 

  اليقين لا يزال بالشك.


[1] Sila lihat kata-kata Ibni Hajar Al-Asqalani terhadap Ibni Taimiah dalam kitab:-
الكرمي الحنبلي، مرعي بن يوسف(ت 1033هـ)، الشهادة الزكية في ثناء الأئمة على ابن تيمية، تحقيق: نجم عبد الرحمن خلف، دار الفرقان، ومؤسسة الرسالة، عمان، ط 2، 1985م/1405هـ، ص 72 و73.
Ibni Hajar Al-Asqalani telah menulis pujian beliau terhadap Ibni Taimiah dalam mengulas buku tersebut di atas pada tahun 885 hijrah pada hari jumaat.
[2] Sila lihat komentar Syeikh Abu Al-Hasan tersebut dan kata-kata Ibni Hajar Al0Haitami dalam kitab:-
الندوي، أبو الحسن علي الندوي، شيخ الإسلام الحافظ أحمد بن تيمية، دار القلم، كويت، ط4، ج2، ص 150-151.
[3] Sila rujuk terjemahan Al-‘Ala Al-Bukhari dan fatwa beliau dalam kitab :-
أبن ناصر الدين الدمشقي، الحافظ محمد بن أبي بكر(ت842هـ)، الرد الوافر على من زعم: بأن من سمى ابن تيمية شيخ الإسلام كافر، تحقيق: زهير الشاويش، المكتب الإسلامي، بيروت/عمان، ط5، 2011م/1432هـ.
[4] Kitab tersebut telah terbitkan oleh Al-Maktab Al-Islami yang dimiliki oleh Syeikh Zuhair As-Syawish(w1434h) dan kitab ditahkik oleh beliau.  Semoga Allah merahmati beliau.  Maklumat kitab ialah:-
أبن ناصر الدين الدمشقي، الحافظ محمد بن أبي بكر(ت842هـ)، الرد الوافر على من زعم: بأن من سمى ابن تيمية شيخ الإسلام كافر، تحقيق: زهير الشاويش، المكتب الإسلامي، بيروت/عمان، ط5، 2011م/1432هـ.
[5] Sila lihat: -
أبن ناصر الدين الدمشقي، الرد الوافر، مرجع نفسه، ص 91.
[6] Sila rujuk : -
أبن ناصر الدين الدمشقي، الرد الوافر، مرجع نفسه، ص 117.
[7] Lihat katakata beliau: -
أبن ناصر الدين الدمشقي، الرد الوافر، مرجع نفسه، ص .131
[8] Pengtahkik kitab الرد الوافر iaitu Syeikh Zuhair As-Syawish menyebut syair tersebut adalah benar dari Abu Hayyan dan tidak dapat disangkal lagi kerana ia diriwayatkan secara mutawatir di dalam beberapa buah kitab.  Antaranya kitab إنباء الغمر juzuk 2, msurat 334, kitab النجوم الزاهرة, juzuk 11, msurat 100 dan 121, kitab نفح الطيب, juzuk 2, ms 578 dan kitab طبقات ابن رجب juzuk 2 ms 392.
[9] Sila rujuk :-
أبن ناصر الدين الدمشقي، الرد الوافر، مرجع نفسه، ص 141.
[10] Sila rujuk kitab tersebut, maklumatnya seperti berikut: -
أبن ناصر الدين الدمشقي، الحافظ محمد بن أبي بكر(ت842هـ)، الرد الوافر على من زعم: بأن من سمى ابن تيمية شيخ الإسلام كافر، تحقيق: زهير الشاويش، المكتب الإسلامي، بيروت/عمان، ط5، 2011م/1432هـ.
[11] Sila lihat:-
عوض منصور، الرحمن على العرش استوى، دون النشر، ط2، 1994م/1415هـ، ص 27.
الندوي، أبو الحسن علي الندوي، شيخ الإسلام الحافظ أحمد بن تيمية، مرجع نفسه، ص 145 في الهامش.
[12] Sila rujuk kitab: -
ابن تيمية، تقي الدين بن أحمد بن تيمية الحراني(ت728هـ)، مجموعة الفتاوى، تخريج: عامر الجزار وأنور الباز، دار الوفاء، المنصورة ودار ابن حزم، ط 2، 1998م/1319هـ، ج5، ص 196.
Kitab-kitab Ibni Taimiah boleh didownload di website: http://www.ibntaimiah.com/index.php?ban=3&pg=books
[13] Sila lihat :-
ابن تيمية، تقي الدين بن أحمد بن تيمية الحراني(ت728هـ)، مجموعة الفتاوى،مرجع نفسه، ج3، ص 21.
[14] Sila lihat Ibid., ج5 ص 199

Tiada ulasan: